Thursday, October 22, 2015

SEJARAH KAMPUNG GUAR LOBAK


Kononnya pada suatu masa dahulu datanglah satu kumpulan perantau dari Selatan Thailand dikatakan dari Daerah Pettani. Mengikut ceritanya kumpulan ini melarikan diri dengan berjalan kaki menempuh hutan rimba belantara akibat diusir oleh Pemerintah Thai atau Pattani. Difahamkan mereka ini beragama islam dan ada diantaranya bertaraf ulamak. Diringkaskan cerita setibanya mereka di Pantai Sungai Sidam (masa itu belum ada nama lagi) waktu hampir senja merekapun berhenti disitu untuk berehat seketika dan bersolat Maghrib tambahan pula pantai itu sangat cantik dan bersih. Alangkah seronoknya mereka kerana apabila menjelang waktu Isyak mereka dapati beratus-ratus penyu mendarat dipantai itu lalu bertelur dengan keadaan demikian berlarutanlah mereka tinggal dipantai itu hingga beberapa hari disebabkan asyik menikmati telur penyu reZeki kurniaan Allah.
Entah beberapa lama dipantai itu tiba-tiba ketua kumpulan itu telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Mereka pun menyemadikan mayat ketua mereka di daratan yang berhampiran pantai ini. Lalu mereka menamakan pantai dan lubuk sungai itu dengan nama LUBUK TOK NEROM mengambil sempena nama ketua mereka yang mati itu. Nama itu berkekalan hingga ke hari ini
Dengan kematian Tok Nerom ketua mereka itu kumpulan ini telah hilang panduan. Sehubungan itu mereka membuat keputusan menerokai tanah dikawasan ini kerana kononnya mereka tak sampai hati meninggalkan Tok Nerom keseorangan. Semasa kerja tebang menebang pokok dijalankan mereka telah menemui sebuah gua dan persekitarannya ditumbuhi pokok lobak tanah yang begitu banyak seolah-olah ditanam orang. Tambahan pula ada tanda-tanda didatangi gajah memakan lobak-lobak ini di musim-musim tertentu lalu mereka namakan tempat ini Guar Lobak.
Selang berapa lama kemudian Guar Lobak mula dikenali orang terutamanya pendatang dari sebelah utara (orang-orang disini menyebut orang-orang yang datang dari utara itu dengan panggilan  ORANG KEDAH masih menjadi sebutan hingga sekarang oleh kumpulan tua)
Hasil daripada pergaulan dengan orang-orang dari utara itulah akhirnya perkataan GUA itu ditukar kepada GUAR (Guar bermaksud banyak) maka wujudlah nama GUAR LOBAK hingga sekarang.

CATATAN

Kebenaran cerita ini boleh dipercayai dengan fakta-fakta berikut:-
 
1)  Ramai penduduk Guar Lobak berkeluarga dengan orang Pattani   hingga sekarang.

2) Pantai atau Lubuk Tok Nerom pernah menjadi pantai   kawalan Duli   Yang Maha Mulia Sultan Kedah kerana telur   penyu (sekarangpun   khabarnya masih ada seekor dua penyu yang naik bertelur di pantai   tersebut).

3) Terdapat sebuah tanah perkuburan lama di kampung Ujung   Padang (dahulu termasuk dalam Guar Lobak juga). Kemungkinan   disitulah disemadikan jasad Tok Nerom dan   pengikut-pengikutnya.   Sekarang kawasan perkuburan tersebut dibawah Qaryah Masjid   Guar Lobak.

4) Kawasan yang dikatakan ditumbuhi dengan banyak pokok Lobak itu   masih ditakuti olah golongan tua kampung ini.


 

No comments:

Post a Comment